Thursday, April 15, 2010

Wasiat Guru Para Syuhada...

1. Apabila mendengar azan maka bangunlah sembahyang serta-merta walaubagaimana keadaan sekalipun.
2. Bacalah al-Quran, tatapilah buku-buku ilmu, pergilah ke majlis-majlis ilmu, dan amalkanlah zikrullah dan janganlah membuang masa dalam perkara yang tiada memberi faedah.
3. Berusahalah untuk bertutur dalam bahasa Arab Fushah kerana bahasa Arab yang betul itu adalah syiar Islam.
4. Janganlah bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran yang kosong tiada memberi apa-apa jua kebaikan.
5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring itu adalah suatu perbuatan yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
8. Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan apa- apa yang memberi kebajikan.
9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Muslim yang ditemui kerana asas gerakan dakwah ialah berkenal-kenalan dan berkasih-sayang.
10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.


sumber : http://freeourmind-blog.blogspot.com/2010/04/wasiat-guru-para-syuhada.html

Monday, April 12, 2010

Akibat kita mudah diperalatkan…

Kadang-kadang saya terfikir apalah sangat hak-hak istimewa orang Melayu yang ingin direbut oleh bukan Melayu supaya selaras dengan gagasan 1Malaysia. Ya, dalam perlembagaan, seolah-olah ada hak istimewa itu (perkara 153), tetapi dalam bentuk yang praktikal sebenarnya masih menjadi tanda tanya. Justeru, saya amat musykil kenapa bukan Melayu begitu mendesak supaya mereka mendapat hak sama seperti orang Melayu. Bila sebut sahaja asimilasi, mereka tolak seratus peratus. Bila sebut pasal hak istimewa, gagasan 1Malaysia diperalatkan untuk memenuhi nafsu serakah tersebut.

Saya masih tercari-cari di manakah hak istimewa itu? Apa yang saya lihat semua sektor sudah mula dibuka untuk diisi, berbanding dahulu. Kedudukan bahasa Melayu? kedudukan agama Islam? biasiswa? kuota? Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan? IPTA dan IPTS? diskaun membeli rumah dan apa lagi? Boleh dikatakan semuanya tidak lagi dapat dilihat dengan jelas dari segi diskriminasinya. Yang jelas, hak Melayu semakin terhakis. Apa yang saya tahu boleh dikatakan semuanya sudah dapat seorang sebiji. Sama rata sama rasa. Di manakah kelebihan yang ada pada Melayu yang sangat-sangat diharapkan. Tidak perlu saya buktikan satu persatu. Lihatlah sekeliling, apa yang telah berlaku di depan mata.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seolah-olah sudah setaraf dengan bahasa lain dari segi penggunaannya sama ada perbualan mahupun bahasa bacaan. Lihat kain rentang dan risalah-risalah adakah bahasa Melayu didaulatkan? Kedudukan agama Islam berbanding agama lain, hari ini agama Islam secara berani telah dicabar di mahkamah dan mereka yang ultra kiasu telah banyak kali menang. Mereka begitu berani campurtangan dalam hal ehwal agama kita, sedangkan kita tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama mereka.

Kedudukan SJKC dan SK, tidak menampakkan perbezaan. Mereka dengan bahasa ibunda, SK dengan bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan sekolah persendirian. Saya difahamkan kerajaan akan mengikhtiraf sijil sekolah persendirian mereka (UEC). Jadi, saya sudah tidak nampak wujudnya diskriminasi yang jelas negatif, tetapi lebih kepada diskriminasi yang positif. Tetapi masih ada yang mengambil kesempatan. Kepada mereka yang minta saya pamirkan data-data dan statistik, InsyaAllah dari masa ke semasa maklumat tersebut akan saya sampaikan nanti disebabkan oleh ruang yang terhad.

Kadang kala tanpa data-data tersebut, kita sudah boleh lihat dengan jelas apa yang berlaku depan mata. Misalnya, biasiswa dan kuota, boleh dikatakan semua pelajar cemerlang telah ditaja oleh JPA. Ribuan hektar tanah telah diberikan kerajaan untuk pembangunan universiti berasaskan parti politik perkauman bagi memuaskan hati semua pihak. Jika ada kekurangan serba sedikit, itu adalah wajar. Mana ada sistem sebegini di dunia ini. Bacalah sama buku Huntington, bertajuk who are we, mengenai kedudukan minoriti di sana, kalau pun tidak mahu melihat pengalaman di negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Lihat pula kuota dan diskaun tujuh peratus untuk membeli rumah. Sebenarnya tidak menguntungkan Melayu. Melayu sudah tidak mampu beli rumah kos sederhana dan mewah, akhirnya siapa yang untung setelah rumah tersebut dijual. Melayu diperalatkan untuk mendapatkan rumah tersebut melalui perjanjian dalam perjanjian jual beli.

Baru-baru ini saya pergi ke Batu Pahat, saya lihat kubur atau taman peringatan, didirikan di kawasan majoriti Melayu. Kenapa kubur tersebut tidak dibuat di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka? Bukankah mudah untuk berurusan? Tetapi orang Melayu, tidak banyak cakap. Cuba kita lihat apabila kubur Islam hendak didirikan berhampiran kawasan mereka, kita lihat berguni-guni memorandum bantahan akan dikemukakan kepada pihak-pihak berkaitan. Apakah erti semuanya ini? Kenapa tidak belajar menjaga perasaan sesama kita? Hari ini kita bukan hanya besar kepala, tetapi sudah semuanya membesar? Orang lain menjadi semakin mengecil. Kita tidak fikir akibat yang akan timbul disebabkan oleh sikap memendam rasa ini. Apakah kita tidak belajar psiki orang Melayu? Mereka mudah memendam rasa. Sesuatu yang terluka di hati akan dipendamkan terlebih dahulu. Sabar dan sabar. Saya yakin, sampai satu masa nanti, kesabaran itu akan hilang.

Semua yang dituntut selama ini boleh dikatakan telah hampir dipenuhi oleh kerajaan. Saya tidak nafikan ada wujud lompongan dan kelemahan sana sini dalam kerajaan seperti isu rasuah dan integriti. Dengan sebab itu ditubuhkan SPRM dan Institut Integriti. Langkah penambaikan sebegini janganlah ditolak kesemuanya.

Apa lagi sebenarnya agenda ultra kiasu? Saya fikir kita sudah tersasar kerana terlalu melayan mereka, sehingga kaduk naik junjung.

Lihat sahaja jawatan-jawatan politik dalam kabinet. Jawatan tersebut sudah tidak lagi mencerminkan perwakilan kaum, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Desakan dan tuntutan terus dibuat untuk menambah lagi jawatan-jawatan bukan Melayu, walaupun bilangan mereka hanya sekelumit. Parti baru demi parti baru ditubuhkan dengan keahlian yang boleh dikira dengan jari, mereka begitu berani menuntut kerusi pilihan raya serta jawatan dalam kabinet.

Lihatlah apa yang telah segelintir ultra kiasu ini dapat. Sekolah sendiri, universiti sendiri, ekonomi sendiri, pertubuhan perkauman sendiri dan lain-lain. Syarikat merekalah yang paling banyak disenaraikan dalam bursa saham, termasuk syarikat yang menjadikan sektor kematian dan perkuburan sebagai sebagai bisnes.

Ke manakah wang dibawa pergi setelah mereka kaya raya? Wang dilaburkan di luar negara, kemudian segelintir mereka berhijrah lari meninggalkan negara kita dengan menukar taraf warganegara. Mereka tidak ada rasa terhutang budi untuk membalas jasa.

Pada mereka, mereka kaya disebabkan oleh usaha mereka sendiri, tidak ada kena mengena dengan polisi yang sedia ada menjadikan mereka kaya. Pada saya, jika sistem itu tidak membenarkan mereka menjadi kaya, tidak mungkin mereka akan kaya. Adakah dengan adanya dasar afirmatif, mereka menjadi semakin miskin? Tidakkah dengan DEB mereka turut menjadi kaya. Semakin ramai lahir usahawan bumiputera dilahirkan, semakin ramai mereka akan menjadi kaya. Logiknya mudah, jika seorang usahawan bumiputera dilahirkan, mereka memerlukan produk. Siapakah yang memilik produk tersebut dan menjualkannya kepada bumiputera tersebut? Sudah tentu bukan Melayu yang menguasai ekonomi. Maknanya, semakin kaya orang Melayu, orang bukan Melayu turut menjadi kaya sama, malah kaya berganda-ganda sebab mereka adalah pengeluar.

Lihatlah berapa ramai kakitangan awam yang bersara yang bergelar Tan Sri dan Dato diperalatkan dalam syarikat dan anak syarikat mereka. Golongan ini diperalatkan dengan sedikit habuan elaun mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Mereka sanggup menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tender-tender kerajaan atas nama bumiputera. Akhirnya siapakah yang dapat tender-tender tersebut. Saya tidak pasti apakah hukum mereka yang diperalatkan ini untuk mendapatkan tender kerajaan. Selepas itu, golongan hanya boleh berlagak dengan jawatan pengerusi syarikat itu dan ini yang telah disenaraikan dalam bursa saham.

Saya yakin dalam suara hati kecil mereka akan berkata mereka diperalatkan, tetapi disebabkan oleh wang, mereka mudah kelabu mata. Anak bangsa terus merempat, orang lain terus menjadi kaya. Kita sanggup menjadi mandaliar, menggadaikan maruah agama bangsa dan negara. Jika benar-benar mereka mahu berjuang, ‘pak pacak’ ini mesti ada suara dengan jawatan yang dilantik dalam syarikat mereka itu. Selain daripada mendapat sedikit sebanyak saham, yakni untuk membantu mereka yang memerlukan, bukan terus menikmati elaun dan seterusnya pencen yang diberikan oleh kerajaan setelah bersara. Tidakkah kita merasa berdosa, duduk di syarikat tersebut. Mukapun tidak nampak dalam syarikat tersebut. Hanya nama mereka dipergunakan dan diperalatkan untuk mendapatkan tender atau kontrak kerajaan. Ini yang dikatakan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Saya tidak mengatakan kita orang Islam tidak boleh duduk dikerusi pengerusi syarikat yang dipunyai oleh orang bukan Melayu. Tetapi kita mesti memainkan berperanan. Bukan berlagak dengan jawatan. Fikirkan kepentingan anak bangsa sama. Apa yang boleh dimanfaatkan oleh anak bangsa dengan perlantikan tersebut. Janganlah menjadi mandaliar dan sikitol. Kita akan menyesalkan nanti, percayalah. Ketika itu, kita tidak dapat melihat atau merasainya, tetapi anak cucu kita yang akan sengsara. Apakah kita yakin anak cucu cicit kita akan dijaga oleh syarikat tersebut setelah kita memejam mata? Apakah kita ingat bahawa elaun yang kita perolehi itu boleh mengenyangkan keturunan kita satu generasi? Ingatlah wahai bangsa seagamaku, elaun yang kita perolehi hanya boleh mengenyangkan kita untuk satu hari atau mungkin setahun. Tetapi tender atau kontrak yang kita dapatkan untuk mereka, boleh mengenyangkan mereka satu generasi dan generasi inilah yang akan berhijrah ke luar negara nanti. Percayalah.

Justeru kepada anak bangsa sekelian, kita jangan mudah diperalatkan dengan hanya sedikit habuan di depan mata. Wang tidak akan dibawa ke mana setelah kita mati. Apa yang penting ialah generasi yang akan kita tinggalkan. Mampukah mereka bertahan? Ingatlah kata-kata pejuang-pejuang zaman dahulu, mereka berjuang bukan kerana pangkat, tetapi demi memperkasakan maruah agama, bangsa dan negara. Sekali lagi saya memetik kata-kata Pendeta Za’ba, bahawasanya keselamatan orang-orang Melayu ini pada pihak jalan kehidupannya (pencariannya) dan pada pihak perangai-perangainya yang kekurangan itu hanyalah boleh didapati pada satu jalan sahaja, iaitu diubati kemiskinannya yang pada pihak otak itu yakni kemiskinan pengetahuannya dengan jalan diberikan mereka itu pelajaran-pelajaran daripada jenis yang betul. Maka di situlah, dan di situlah sahaja boleh didapati keselamatan itu, tiada pada lainnya.

Jika orang lain ada strategi laut biru atau blue ocean strategy, kenapa tidak kita? Kita juga harus berfikir bagaimana mewujudkan ruang pasaran tanpa perebutan dan menjadikan persaingan tidak relevan (W. Chan Kim dan Renee Mauborgne, 2005). Hari ini kita asyik mahu merebut dan bersaing tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Umat Islam mesti keluar daripada kelemut air yang penuh dengan segelintir jerung jika ingin berjaya dan tidak tidak diperalatkan oleh jerung tersebut.

Teringat saya berita 14 Mac 2010 bertajuk “Brunei lebih takut laknat Allah” oleh Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Dr. Mohd Zain Serudin yang menolak usul ultra kiasu ahli parlimen Goh King Chin, supaya zon jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam. Zain menegaskan, “andai ianya diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan. Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja, tetapi pada semua yang berada di negara ini. Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak. Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran”.

Saya ucapkan tahniah dan kita perlu mengambil iktibar dari penegasan negarawan ini. Terus terang, inilah pemimpin yang meletakkan rakyat didahulukan, memahami kehendak akar umbi. Tidak mudah tunduk kepada desakan dan tekanan. Hak asasi manusia perlu diketepikan apabila berlaku pertembungan dengan hak-hak Maha Pencipta. Tujuannya tidak lain, untuk melindungi manusia yang tidak berdosa di buminya sendiri. Kita amat bimbang, bila berlaku sesuatu musibah mereka yang tidak berdosa turut menjadi mangsa disebabkan oleh tangan-tangan pendosa.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

sumber : http://ridhuantee.blogspot.com/2010/04/akibat-kita-mudah-diperalatkan.html

Sunday, April 11, 2010

Posan Paduka Lang Buana

Posan Paduka Lang Buana:

1. Umat Melayu harus ingat bahawa tiada bumi Allah yang dizahirkan keturunan Melayu yang dipanggil anak@warga@rakyat Raja. Lalu, digazet dalam buku perlembagaan sebagai beragama Islam.

2. Umat Melayu harus ingat, walau sibuk setara mana pun mencari Sesuap Nasi, Sekawah Lauk atau Sebidang Tanah atau Sepadang Bola Himpunan Kemewahan, keturunan Melayu dan rumpun Rakyat Raja mesti dipertahan dan diperkukuh. Tiada mana-mana suku kaum daripada kaum-kaum lain, boleh menuding jari dan mengatakan kepada umat Melayu "BERAMBUS KAU".

3. Umat Melayu harus ingat, bahawa kedudukan kita secara relatifnya ibarat telur di hujung tanduk, ibarat meniti di atas belahan bilah pedang samurai, ibarat halus dan lembutnya seurat rambut yang reput dan kusam.

4. Umat Melayu harus ingat, bahawa perpaduan kaum di Bumi Allah Tanah Melayu ini ibarat nipisnya kulit telur puyuh, yang mudah pecah dan meretak. Pantang ditekan apatah lagi dihempas ke bumi, maka pecah berderai ia.

5. Umat Melayu harus ingat, bahawa perlu ada dalam kalangan kita ahli ilmu yang bijaksana, ahli perang yang cekal jiwa, ahli tempur yang suci hati dan ahli zikir yang redha meredhai.

6. Umat Melayu harus ingat, bahawa alam politik Melayu sudah makin hancur dek kerana riak, takbur, haloba kerana pewarisan tangan-tangan Firaun, Namrud, Tharut, Qarun, Dajjal, Jahal, Lahab, Lahub, Jahil. Umat Melayu tiada PILIHAN kecuali berubah habis-habisan, ke kedudukan haq dan rukun pekerti yang diwasilah oleh junjungan besar Muhammad bin Abdullah, saw...ang diertikan dalam konteks 1, 6, 5.

7. Umat Melayu harus ingat, selagi ada namanya Masjid, Quran, Azan, maka panglima-panglima dan hulubalang-hulubalang yang dimaklum oleh Paduka Lang Buana, akan bernafas dan bernyawa. Hanya Allah jua penentu segalanya. Namun, bak kata adat...Selagi ada Budi, Selagi itu ada Pekerti. Selagi ada Adab, selagi itu ada Adat. Selagi ada Ilmu, maka Fikrah Ilmu akan terus berlaku.

Demikianlah posan Paduka Lang Buana, yang Pak Sedaro fikir amat cocok diinfak dalam wacana PM yang paneh, miang dan ganeh.

Sumber http://paneh.blogspot.com/

Thursday, April 8, 2010

Jatidiri Penggerak Wawasan : Menurut Ridhuan Tee

Kini, sudah 38 tahun kita merdeka, perubahan demi perubahan telah berlaku. Pembangunan terus bergerak maju, perpaduan rakyat semakin jitu. Negara kita akan keluar menjadi negara maju di abad ke 21. Itulah impian pemimpin-pemimpin negara yang akan telahpun ada tanda-tanda dan akan menjadi kenyataan. Segala apa yang kita rasai hari ini adalah hasil daripada jerit-perih pemimpin-pemimpin yang mempunyai semangat jatidiri yang mantap dan waja pada masa lampau dan tidak tidak ketinggalan pada masa kini.


Justeru itu, tema Hari Kebangsaan tahun ini memang bertepatan dengan roh dan semangat kemerdekaan negara. Ia membawa kita mengingati kembali pengorbanan pejuang-pejuang tanahair yang mempunyai jatidiri memperjuangkan kemerdekaan tanahair.


Jati diri bermaksud, mengekalkan ciri-ciri keunggulan bangsa Malaysia (identiti). Menurut Datuk Prof. Dr Wan Hashim, Jatidiri memperlihatkan kewujudan diri sesuatu bangsa yang berketerampilan. Ia juga dihormati bukan sahaja pada peringkat negara tetapi juga dalam pengertian sejagat.


Bangsa yang dipandang tinggi seperti Anglo-American, Cina dan Yahudi kerana berjaya tampil dengan jati diri sendiri sehingga muncul sebagai global tribe. Untuk membentuk global tribe bangsa Melayu, kekuatan ekonomi adalah penting di samping mengekalkan ciri budaya dan bahasa asal.


Negara kita memerlukan rakyat yang mempunyai jatidiri yang mantap dan cekal supaya kita dapat merasai erti kemerdekaan yang sebenar. Merdeka bukan hanya bermaksud merdeka daripada cengkaman penjajah tetapi dalam erti kata yang lebih merdeka dalam segala aspek, termasuk mengekalkan jatidiri, merdeka dalam aspek merdeka akal fikiran, merdeka dari sudut ekonomi, politik, merdeka bertindak, berkumpul dan sebagainya.


Nasib kita tidak lagi dikongkong dan diperkotak-katik oleh penjajah. Kita tidak mahu berlaku di sesetengah negara walaupun negara telah merdeka tetapi akal fikiran kita masih tidak merdeka, mereka tidak mempunyai jatidiri, masih lagi dikongkong oleh penjajah, masih mengekalkan budaya penjajah, masih mengekalkan undang-undang penjajah yang tidak sesuai dengan budaya anak bangsa dan sebagainya.


Berbekalkan kepada semangat inilah pejuang-pejuang tanahair lampau bertungkus-lumus memastikan negara mencapai kemerdekaan. Pemimpin-pemimpin lampau seperti Dato' Onn, Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan dan sebagainya mempunyai jatidiri yang kental dan tidak berbelah bahagi. Mereka telah berusaha menentang Malayan Union yang merupakan idea penjajah British untuk terus berkuasa selepas penjajah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945.


Usaha Sir Harold MacMichael yang telah datang ke Tanah Melayu untuk mendapat tandatangan sultan-sultan supaya menyerahkan kuasa politik kepada pihak British telah ditentang habis-habisan. Semangat jatidiri yang ada pada orang Melayu pada ketika itu telah berjaya membatalkan Malayan Union sehingga melahirkan Persekutuan Tanah Melayu.


Dengan adanya Persekutuan Tanah Melayu kedudukan raja-raja telah menjadi bertambah baik. Mereka telah diberi semula kuasa dan hak untuk menjadi raja-raja yang berdaulat di negeri masing-masing. Mereka telah diberi kuasa penuh dalam hal istidat orang Melayu dan agama Islam. Tidak ketinggalan persekutuan ini juga mengekalkan ketuanan Melayu sejak zaman berzaman. Ini bermakna detik-detik kemerdekaan telahpun berbunga selepas persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan.


Kepimpinan Jatidiri

Selepas Dato Onn mengundurkan diri daripada pucuk pimpinan Melayu (UMNO), maka teraju kepimpinan Melayu telah diambilalih oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1957-1970) meletakkan asas sebagai bapa kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman berusaha memperkenalkan Malaysia selepas bebas daripada cengkaman penjajah. Masalah-masalah antara negara serantau cuba diselesaikan sebaik mungkin seperti konfrantasi Malaysia-Indonesia, tuntutan Filipina ke atas Sabah dan sebagainya.


Dalam Rancangan Malaya Pertama (RM1) 1956-1960, Tunku telah mengambil inisiatif membangunkan ekonomi sektor luar bandar. Penubuhan dua buah agensi kerajaan iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) 1956 dan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta perlaksanaan sistem Buku Merah merupakan inovasi penting dalam sejarah perancangan dan pembangunan negara sehingga masa kini.


Ini seterusnya membawa kepada Rancangan Malaya Kedua (RM2: 1961-1965) dalam usaha untuk mencapai kemajuan yang menyeluruh. Pembangunan luar bandar terus diberikan penekanan utama dan seterusnya cuba mengatasi masalah-masalah ekonomi negara selepas mencapai kemerdekaan.


Dalam Rancangan Malaysia Pertama (RMP: 1966-1970), berikutan dengan kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Tanah Melayu, pertumbuhan ekonomi negara semakin menampakkan perubahan. Ini berikutan dengan penubuhan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) 1967 yang dahulunya dikenali sebagai FIDA. Seterusnya diikuti dengan penubuhan MARA, PERNAS, Bank Bumiputera bagi menggalakkan bumiputera berkecimpung dalam bidang perniagaan dan perusahaan.


Selepas YTM Tunku Abdul Rahman mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri, teraju pemerintahan negara telah beralih pula kepada Tun Abdul Razak (1970-1976). Semasa pemerintahan beliau, Malaysia menitikberatkan pembangunan negara dan integrasi nasional. Ini ternyata dapat dilihat melalui Rancangan Malaysia Kedua (RMD: 1971-1975) dengan memberikan penekanan kepada Dasar Ekonomi Baru yang bermatlamat serampang dua mata bertujuan menyeimbangkan kedudukan ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera selepas dikejutkan dengan peristiwa 13 Mei 1969.


Dari segi dasar luar pula, Malaysia telah mengadakan hubungan diplomatik dengan negeri China, memberi penekanan kepada konsep berkecuali dan mengutarakan konsep zon aman, bebas dan berkecuali bagi rantau Asia Tenggara (ZOPFAN). Malaysia juga terlibat dalam isu Vietnam. Malaysia telah berperanan untuk meredakan ketegangan dalam konflik di Vietnam.


Tun Hussein Onn (1976-1981) dalam dasar luar menumpukan perhatian dari sudut keselamatan nasional dan kerjasama pertahanan. Malaysia telah mengemukakan bantahan terhadap Vietnam terhadap penaklukan Cambodia. Tidak ketinggalan juga Malaysia juga sensitif dengan masa depan negara Islam yang lain melalui jalinan erat dalam Persidangan Negara Islam atau OIC dan juga mengeratkan lagi kerjasama di kalangan negara-negara Asean dalam isu pertahanan dan keselamatan serantau.


Dalam Rancangan Malaysia Ketiga (RMT: 1976-1980), Dasar Ekonomi Baru terus mendapat perhatian kerajaan. Usaha membangunkan sektor perindustrian dan pertanian mendapat tempat yang aktif ketika itu.


Pada tahun 1982, apabila teraju negara berada di bawah pimpinan Bapa Wawasan Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed, ia semakin menampakkan arah pembangunan yang jelas sehingga ke hari ini. Rancangan Malaysia Keempat (RME: 1981-1985), Rancangan Malaysia Kelima (RML: 1986-1990), Rancangan Malaysia Keenam (RM6: 1991-1995) dan Rancangan Malaysia Ketujuh (RM7: 1996-2000) adalah merupakan penerusan pembangunan negara.


Banyak dasar utama negara telah dilancarkan untuk menggerakkan lagi sektor pertanian dan perindustrian. Antaranya ialah Dasar Pertanian Negara, Dasar Persyarikatan Malaysia, Dasar Penswastaan dan sebagainya.


Untuk memperkemaskan lagi pentadbiran negara, kerajaan turut melancarkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah, Dasar Pandang Ke Timur dan sebagainya.


Semuanya ini menampakkan bahawa negara kita semakin berusaha untuk bergerak menjadi sebuah negara maju pada masa akan datang. Pimpinan-pimpinan negara sentiasa sensitif dengan arus pemodenan dan ledakan teknologi maklumat yang begitu canggih dan pantas.


Malaysia di era pemerintahan Dr. Mahathir semakin menyerlah lagi peranan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam dasar luarnya. Malaysia mengorak langkah meningkatkan pelaburan luar negara, menangani isu-isu antarabangsa, menyuarakan secara lantang terhadap ketidakadilan PBB dan sebagainya. Malaysia juga mengemukakan pakatan ekonomi serantau EAEC.


Pendek kata, selepas mencapai kemerdekaan, dasar dan strategi pembangunan negara adalah untuk mencapai pembangunan yang lebih seimbang bagi semua sektor ekonomi bagi mencapai perpaduan dan kestabilan politik. Semua yang kita kecapi dan nikmati hari ini adalah merupakan kesinambungan perjuangan pimpinan negara.


Perubahan Sistem Pendidikan Negara

Di zaman penjajah British sebanyak empat aliran persekolahan di Tanah Melayu iaitu sekolah `vernakular' Melayu termasuk sekolah agama, Cina, Tamil dan Inggeris. Wujudnya berbagai sekolah ini adalah berpunca daripada sikap penjajah yang cuba memecahkan perpaduan kaum. Selain daripada itu, ia juga disebabkan oleh tidak adanya satu Dasar pelajaran Kebangsaan dan ketebalan sikap kedaerahan yang dipusakai oleh setiap kaum. Sistem pendidikan sebegini begitu jelas menampakkan garis pemisahan politik. Interkasi kaum berada di tahap yang cukup minima. Kesempatan hanya dapat ditemui di sekolah Inggeris yang terletak di bandar. Sekolah Inggeris ketika itu hanya dimonopoli oleh kaum Cina dan India. Penglibatan kaum Melayu amat kurang sekali.


Sistem pendidikan ini juga menimbulkan masalah bahasa. Tidak ada bahasa pengantar yang tunggal. Masing-masing sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing.


Selain itu, kedudukan geografi sekolah-sekolah juga menampakkan pemisahan yang begitu jelas. Sekolah Melayu berada di kampung-kampung, sekolah Tamil terletak di ladang-ladang. Sementara sekolah Cina terdapat di kawasan perlombongan, perindustrian dan perniagaan.


Apatah lagi kalau ditinjau dari segi kurikulum sekolah-sekolah tersebut. Kurikulum menampakkan semangat perkauman yang begitu jelas. Kurikulum sekolah Cina mengikut corak kurikulum sekolah di negari China. Begitu juga dengan kurikulum sekolah Tamil yang didatangkan dari negeri India. lebih menyedihkan tenaga pengajarpun ada juga yang diimport dari negeri masing-masing.


Jelasnya di sini, sistem pendidikan di zaman pra-merdeka menampakkan pemisahan politik yang begitu nyata. Penjajah British langsung tidak berminat untuk memupuk persefahaman dan perpaduan kaum melalui sistem pendidikan. Mereka beranggapan sekiranya satu sistem pendidikan yang sistematik diwujudkan sudah tentu perpaduan dan persefahaman dapat diwujudkan dan ini akan mengugat kedudukan mereka sebagai penjajah.


Sistem pendidikan negara mula menampakkan perubahan apabila Penyata Barnes (1950) dan Penyata Fenn-Wu (1951) diperkenalkan akibat daripada penentangan terhadap Malayan Union dan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu. Kedua-dua penyata ini mula menampakkan sedikit ciri-ciri tempatan walau banyak lagi yang perlu diubah sehingga tertubuhnya Jawatankuasa Pelajaran yang diketuai oleh Datuk Abdul Razak Hussein pada tahun 1955 yang menjadi Menteri Pelajaran selepas pilihanraya pada tahun yang sama. Pada tahun 1960, penyata tersebut telah disemak semula oleh Jawatankuasa Abdul Rahman Talib bagi memperteguh dan memperkukuhkan lagi Penyata Razak. Ini akhirnya membawa kepada termaktub Dasar Pelajaran Kebangsaan yang berasaskan kepada kedua-dua penyata itu pada tahun 1957.


Dasar Pelajaran kebangsaan ini begitu jelas menampakkan semangat perpaduan kaum yang mantap dan tidak lagi berunsurkan perkauman. Semua kaum telah disatukan dalam sebuah bumbung. Antara perkara penting yang dimasukkan ialah sistem persekolah yang sama bagi semua, bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar di semua peringkat sekolah dan kurikulum dan peperiksaan sekolah yang sama kandungan dan bercorak kebangsaan.


Bertitik tolak daripada asas ini, sistem pendidikan negara terus berkembang sehingga membawa kepada kewujudan falsafah pendidik negara dan pendidikan bersepadu. Kelemahan-kelemahan yang ada telah diperbaiki dari semasa ke semasa sehinggalah ke hari ini, sistem pendidikan negara telah mampu menyaingi sistem pendidikan negara maju walaupun tidak sepenuhnya. Sekolah-sekolah rendah dan menengah semakin bertambah. Diikuti pula dengan pertambahan institusi pengajian tinggi dan kemunculan kolej-kolej swasta dan kolej berkembar seperti cendewan selepas hujan. Namun demikian, kemunculan kolej-kolej sebegini perlu dikawal supaya ada unsur-unsur jatidiri rakyat Malaysia. Tanpa semangat jatidiri sudah pasti kita tidak dapat melahirkan warga yang cintakan tanahair sendiri dan yang benar-benar menghayati erti kemerdekaan.


Pendek kata, sistem pendidikan negara terus berubah mengikut masa dan reformasi pendidikan terus berlaku mengikut perubahan zaman dan ledakan informasi. Ini seterusnya telah melahirkan warga yang mempunyai daya tahan dan daya saing yang kuat dan teguh sehingga terbentuknya satu bangsa yang merdeka serta mampu melihat dan merancang masa depan negara berdasarkan acuan kita sendiri.


Semuanya ini adalah berasaskan kepada semangat jatidiri pejuang-pejuang negara zaman pra-merdeka dan selepas merdeka yang bertungkus-lumus mempertahankan negara supaya dikekalkan semangat jatidiri yang boleh merubah arus politik negara.


Jatidiri Penggerak Wawasan

Seringkali kita dengar, generasi selepas merdeka disindir dengan kata-kata "aku lebih dahulu makan garam" oleh generasi sebelum merdeka. Bermaksud generasi selepas merdeka dikatakan tidak merasai keadaan yang berlaku di zaman pra-merdeka. Mereka dikatakan terlalu manja dan tidak mempunyai daya ketahanan diri.


Sudah tentu kata-kata sebegini kurang enak didengar oleh generasi muda. Benar, generasi selepas merdeka tidak merasai zaman pra-merdeka. Itu bukanlah suatu `kelemahan' pada diri kerana kita tidak boleh mengembalikan masa yang telah berlalu. Yang berlalu tetap dan telahpun berlalu. Apa yang penting bagi generasi masak kini ialah memetik pengajaran sejarah masa lalu.


Anak bangsa selepas merdeka perlu didedahkan dengan sejarah tanahair sama ada di peringkat sekolah rendah dan menengah serta seterusnya di institusi pengajian tinggi. Sungguhnya mereka tidak merasai detik-detik bersejarah negara, tetapi semangat cintakan tanahair, tetap bersemadi di dalam jiwa setiap warga Malaysia.


Keadaan ini jelas berlaku dalam negara kita. Anak bangsa selepas merdeka bersama-sama mengorak langkah membangunkan negara. Pada tanggal 31 ogos setiap tahun anak bangsa selepas merdeka bersama-sama berarak dan melaung perkataan merdeka! merdeka! dan merdeka!. Mereka terjun bersama-sama untuk memajukan negara tercinta.


Setelah 38 tahun mengharungi arus kemerdekaan, kini Malaysia telahpun mendapat pengikhtirafan dunia sama ada dari segi pembangunan mahupun dari segi memperjuangkan isu-isu antarabangsa. Walaupun kita masih lagi tidak setanding dan seganding dengan negara maju tetapi dengan asas-asas kukuh yang telah digalurkan oleh pimpinan-pimpinan masa kini dan lampau kita yakin bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara maju tidak lama lagi. Pokoknya, kita hendaklah sentiasa berusaha dan mengekalkan semangat jatidiri terutama dari segi kekuatan ekonomi yang menjadi ukuran penting masa kini.


Seorang sarjana dan pakar peramal barat terkemuka, Alvin Tofler dalam kunjungan ke IKIM pada 8 Januari 1993 meramalkan bahawa Malaysia adalah negara yang akan menjadi model kepada negara Islam yang lain pada suatu masa nanti berdasarkan potensi dan prestasi yang ada. Beliau menambah:

"you, here, are a test case for Islam, if you succeed in developing your country, you will prove to the world that Islam is a very progressive religion, different from the impressions the west have about Islam which they gather normally from the Middle East...the centre of Islam will move from the Middle East, its original and traditional locality, to this place (Malaysia and Indonesia)". [Perspektif IKIM, No. 3, Mac 1993: ms 20-21]


Kenyataan ini kalau dikaji secara mendalam memang tidak akan mustahil berlaku di negara kita berdasarkan prasana serta visi dan misi pimpinan negara. Kita boleh melahirkan negara Malaysia yang maju dan beridentiti sekiranya kita sentiasa berusaha ke arah itu. Kalau negara Jepun dalam jangkamasa yang begitu singkat selepas pengeboman Nagasaki dan Hiroshima pada tahun 1945, sekarang ini telah keluar menjadi sebuah negara maju yang beridentitikan kekuatan ekonomi. Kenapa kita tidak boleh! Kita boleh!. Kita mempunyai prasarana yang begitu banyak berbanding dengan negara Jepun. Cuma, yang membezakannya ialah kalau di Jepun, anak bangsa mereka mulai sedar dan insaf akibat daripada tragedi itu dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan negara. Ternyata usaha mereka telah mendatangkan hasil yang lumayan.


Justeru itu, melihat kepada pengalaman ini marilah kita mesti bersama-sama menggembelingkan tenaga menggerakkan wawasan 2020 demi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang mempunyai kekuatan ekonomi tanpa mengikis jatidiri. Pimpinan sebelum merdeka telah menggariskan dan menggalurkan arah pembangunan negara. Sudah sewajarnya, generasi selepas merdeka perlu menyahut cabaran ini dengan bersama-sama menimba pengalaman lampau dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengerakkan wawasan negara.


Untuk mencapai semuanya ini, ia memerlukan kepada persiapan sama ada secara fizikal mahupun spiritual. Persiapan fizikal bermaksud memperlengkapkan dengan segala kemahiran tertentu dan ilmu pengetahuan semasa. Persiapan ini adalah amat penting supaya kita tidak lagi bergantung kepada teknologi dan kepakaran asing.


Setelah 38 tahun merdeka, tentunya kita kita mahu berdikari. Walaupun tanda-tanda positif sudah ada, tetapi ia perlu dipergiatkan lagi. Kalau sekarang ini kita mempunyai kereta nasional, sudah sudah ada cita-cita anak merdeka ini untuk mengeluarkan kenderaan yang lebih besar lagi seperti kapalterbang misalnya dan ia telahpun disarankan oleh Perdana Menteri. Justeru itu, kita perlu berganding bahu untuk menjadi Malaysia sebagai negara maju yang mempunyai jatidiri. Walau bagaimanapun, persiapan fizikal semata-mata adalah tidak mencukupi tanpa persiapan spiritual. Malek Bennabi pernah berkata, "jika kita mahu membangunkan masyarakat, ia mestilah berasaskan kekuatan iman dan keilmuan." Justeru itu, adalah amat pentingnya kedua-dua aspek ini diberikan penekanan supaya lahir masyarakat yang mempunyai jatidiri sesuai dengan tema hari kebangsaan ke 38, "jatidiri penggerak wawasan".

Sumber : http://ridhuantikim.blogspot.com/

Interaksi generasi lama, baru dapat elak kesilapan sama diulangi: Tun M

2010/03/29
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata interaksi antara generasi lama dan baru amat penting bagi memastikan kesilapan yang sama tidak diulangi dan tindakan yang diambil tidak merugikan negara.

Beliau berkata generasi baru merupakan pewaris perjuangan mereka yang terdahulu dan melalui interaksi itu, mereka dapat mempersiapkan dan melengkapkan diri mereka dengan ilmu agar dapat meneruskan segala kerja yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu.
"Kita harus tahu apa yang berlaku dahulu agar kita dapat menentukan apa yang harus dikekalkan dan digugurkan.
"Jika kita tidak tahu sejarah perjuangan bangsa kita, negara, pemimpin kita, mungkin kita akan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali," katanya ketika berucap pada majlis penutup Program Bicara Negarawan bersama beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Seramai 54 pelajar cemerlang terpilih daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta hadir pada majlis itu.

Turut hadir ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir berkata bagi sebarang tindakan yang salah, perlu ditentukan agar tidak mengulanginya manakala bagi tindakan baik yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara pula perlu diulangi dan diperbaiki lagi.
Beliau juga berkata generasi baru perlu bersyukur kerana Malaysia adalah sebuah negara yang stabil dan membangun dengan pesat.

Jika dibandingkan dengan negara lain, ramai rakan sebaya mereka tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti berikutan kegagalan pentadbiran kerajaan, masalah rasuah, kemiskinan dan sebagainya, katanya.

Sehubungan itu, katanya mereka perlu mengingati sejarah dan para pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun V.T.Sambanthan dan sebagainya.

Katanya berikutan perjuangan pemimpin seperti mereka, negara dapat dibangunkan menjadi kaya dan memberi peluang yang lebih banyak kepada generasi muda untuk mendapat ilmu dan pelajaran sehingga ke peringkat universiti.

Sementara itu, pada sesi soal jawab, Dr Mahathir berkata Dasar Pandang Ke Timur diwujudkan oleh kerajaan bertujuan untuk mencontohi budaya kerja masyarakat Jepun dan Korea kerana ia adalah kunci kejayaan.

Katanya Jepun, Korea dan kini China tidak membina negara mereka melalui Pelaburan Langsung Asing (FDI) tetapi mereka mempelajari teknologi Barat dan memulakan syarikat mereka sendiri.

"Sebab itu kenapa pada hari ini kita mempunyai Matsushita, Sony, Hitachi, Samsung, semua ini syarikat mereka sendiri. Sudah tiba masanya kita berfikir seperti mereka.

"Bolehkah kita melakukannya, saya fikir kita boleh. Saya fikir rakyat Malaysia mempunyai kebolehan menjadi pengusaha bertaraf dunia. Sebab itu kenapa baru-baru ini Proton mengumumkan ia tidak lagi mensasarkan pasaran Malaysia sahaja tetapi menumpukan pada pasaran dunia.

"Inilah kelainan yang terdapat pada Dasar Pandang Ke Timur yang saya fikir kerajaan sekarang patut menerimanya," katanya. - Bernama

Sumber : Berita Harian 29 March 2010